
SIMANGGANG: Projek menaik taraf gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga dengan peruntukan sebanyak RM200,000 yang diluluskan di bawah Peruntukan Khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia 2024 kini siap sepenuhnya dan telah boleh digunakan mulai 20 April tahun ini.
Projek ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Projek Mesra Rakyat Parlimen Batang Lupar 2021. Agensi pelaksana terdiri daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman dengan kerjasama pengurusan sekolah.
Kemudahan gelanggang berbumbung yang dinaik taraf ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat aktiviti sukan untuk para pelajar, malah turut dimanfaatkan sebagai tempat perhimpunan rasmi serta pelbagai program sekolah, selari dengan usaha memperkukuh agenda pembangunan pendidikan yang lestari.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Dalam ucapannya, Mohamad Shafizan menegaskan komitmen berterusan beliau untuk memperkasa infrastruktur pendidikan di Batang Lupar termasuk SMK Lingga.
Beliau turut mengumumkan tambahan peruntukan di bawah Projek Infrastruktur Madani (PRISMA) SDO Sarawak dengan siling RM100,000 bagi melengkapkan keperluan kemudahan elektrik di tapak gelanggang tersebut.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap pembangunan fasiliti pendidikan luar bandar agar anak-anak kita mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti,” jelas beliau.
SMK Lingga kini memiliki sebuah gelanggang sukan serba guna yang mampu menyokong pembangunan sahsiah dan bakat pelajar ke arah kecemerlangan menyeluruh.
Oleh Adi Safarman