Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • SELC 2025 perkasa literasi bahasa Inggeris demi masa depan mampan Sarawak
  • PENDIDIKAN

SELC 2025 perkasa literasi bahasa Inggeris demi masa depan mampan Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
RAKAM KENANGAN… Dato Gerald Rentap Jabu bersama penganjur dan wakil Business Events Sarawak rakam kenangan selepas sidang media pengumuman Sidang Kemuncak Literasi Bahasa Inggeris Sarawak 2025 (SELC 2025) yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

KUCHING: Bahasa dan literasi kekal sebagai teras penting dalam pembinaan masa depan Sarawak yang mampan, sejajar dengan hala tuju negeri menuju status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sehubungan itu, Sidang Kemuncak Literasi Bahasa Inggeris Sarawak 2025 (Sarawak English Literacy Conference – SELC 2025) yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, bakal menjadi platform strategik untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pendidik dan generasi muda, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam satu temu bual eksklusif, Penasihat SELC 2025, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, pemerkasaan literasi bahasa Inggeris amat penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan Sarawak, terutamanya bagi menghadapi dunia yang semakin global dan berteraskan teknologi.

“Bahasa Inggeris bukan sekadar satu bahasa komunikasi, tetapi merupakan alat untuk akses pengetahuan,” tegas beliau sambil merujuk kepada kepentingan bahasa tersebut dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Dato Rentap, antara tumpuan utama SELC 2025 ialah memperkenalkan pendekatan fonik sintetik seawal usia prasekolah yang terbukti berkesan dalam membina asas bahasa yang kukuh bagi menyokong pembelajaran STEM pada peringkat seterusnya.

“Persidangan ini akan menghimpunkan pakar pendidikan dan STEM bertaraf antarabangsa termasuk dari Jolly Learning dan STEM Learning UK yang akan berkongsi kaedah terbaik serta amalan global. Ini peluang keemasan buat pendidik, bukan sahaja dari Sarawak tetapi dari seluruh negara dan rantau ini,” tambahnya.

Beliau turut menekankan kepentingan melabur dalam pembangunan profesional tenaga pengajar yang menjadi tonggak kepada sistem pendidikan yang cemerlang.

“Jika kita mahu melihat anak-anak muda kita bersaing dalam bidang hidrogen, aeroangkasa, pengurusan karbon dan kecerdasan buatan, guru-guru kita mesti diperkasa dengan alat, pengetahuan dan visi yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut, Dato Rentap menyifatkan SELC 2025 sebagai persidangan berteraskan aspirasi tempatan namun berwawasan global, selari dengan usaha jangka panjang Sarawak membentuk masyarakat berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Kementerian Wanita, Pembangunan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta Business Events Sarawak (BESarawak) atas sokongan padu terhadap penganjuran persidangan berimpak tinggi ini.

Dengan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di Sarawak mulai tahun hadapan, keperluan mengukuhkan penguasaan literasi dan ilmu teknikal kini menjadi lebih mendesak.

“Kita mahu anak muda Sarawak mempunyai peluang yang luas untuk berjaya, bukan sahaja di sini tetapi di pentas global. Dengan asas kukuh dalam bahasa Inggeris serta ilmu sains dan teknologi, mereka boleh pergi jauh,” ujar beliau.

SELC 2025 juga dijangka memberi impak terhadap dasar serta strategi pendidikan negeri pada masa akan datang dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri berpengetahuan dan bersedia mendepani cabaran abad ke-21 menjelang 2030.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari www.selconference.com atau hubungi Emierson di talian +6082-555 189 atau e-mel ke sarawakenglishliteracyconf@gmail.com.

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: STEM Catalysts himpun lebih 1,000 pelajar luar bandar di SMK Long Lama
Next: 118 pelajar B40, asnaf terima bantuan pendidikan TCS–MAIWP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.