
PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyambut baik dan menyokong penuh usaha murni Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) untuk membukukan sejarah keturunan Pengiran di Sarawak.
Beliau berkata langkah ini sangat signifikan dalam usaha mendokumentasikan fakta sejarah, memperkukuh identiti serta menyediakan bahan rujukan kepada generasi muda.
“Apabila disebut nama ‘Pengiran’, sudah pasti hati kita sebagai sebahagian daripada keturunan yang mulia ini akan tersentuh. Keturunan Pengiran merupakan antara warisan yang sangat istimewa dan bersejarah di bumi Sarawak, yang akar usulnya berasal dari negara jiran kita, Brunei Darussalam.
“Sejarah ini tidak dapat dinafikan, sebelum era pemerintahan Brooke lagi, keturunan Pengiran telah bertapak di Sarawak, sewaktu Sultan Tengah dan para pengikutnya memerintah kawasan ini.
Dari situlah lahirnya kerajaan-kerajaan kecil seperti Santubong, Saribas, Banting dan sebagainya yang menandakan kemunculan awal sistem pemerintahan dan struktur masyarakat yang tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah merasmikan Majlis Makan Malam Silaturahim 2025 anjuran PKWPS di Dewan Bankuet Balairong Seri, Kubah Ria, malam ini.

Dayang Noorazah turut dimaklumkan bahawa PKWPS telah membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Januari lalu dan mendapat sokongan penuh atas inisiatif tersebut.
“Ini jelas menunjukkan bahawa niat yang baik akan sentiasa mendapat sambutan yang baik, khususnya dalam hal berkaitan pemeliharaan warisan negeri. Bukan mudah untuk menjayakan sesuatu usaha tanpa ilmu, pengalaman dan jaringan kerjasama yang baik.
“Tetapi saya percaya PKWPS memiliki kekuatan tersendiri. Ramai dalam kalangan kerabat Pengiran yang memegang jawatan tinggi di pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan.
“Mereka inilah aset kepada pertubuhan ini. Saya yakin mereka mampu menjadi penyokong, penasihat dan pemudah cara dalam memastikan misi dan visi PKWPS direalisasikan,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan, Dayang Noorazah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada PKWPS pada majlis ini.
Oleh Adi Safarman