
SARATOK: Tebingan Sungai Krian bertukar menjadi lautan cahaya apabila 15 perahu berhias menyusuri sungai itu dalam suasana meriah dan penuh warna-warni sempena penganjuran Regata Kalaka 2025, malam tadi.
Acara perahu berhias yang kini memasuki tahun ketiga itu menjadi tarikan utama ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan tebingan untuk menyaksikan keindahan cahaya dan kreativiti yang dipamerkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sambutan luar biasa yang ditunjukkan orang ramai membuktikan potensi besar acara tersebut sebagai tarikan pelancongan utama di Saratok.
“Melihat kepada sambutan malam ini, saya yakin perarakan perahu berhias ini mampu menjadi acara ikonik yang menarik pengunjung dari dalam dan luar kawasan,” katanya.
Sebanyak 15 perahu mengambil bahagian, masing-masing dihias indah dengan tema tersendiri yang menampilkan elemen tradisional, simbol kebudayaan tempatan dan rekaan moden yang kreatif.
Keunikan pencahayaan, hiasan yang sarat dengan elemen seni serta usaha gigih komuniti menjadikan perarakan ini sebagai malam yang tidak dilupakan dalam kalendar Regata Kalaka tahun ini.
Mohamad Duri turut menyifatkan acara itu bukan sekadar pertandingan, malah sebagai ekspresi seni rakyat yang memperlihatkan kreativiti dan kebanggaan komuniti tempatan.
Keputusan rasmi pertandingan dan penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung malam ini bersempena majlis perasmian Pesta Saratok 2025.
Dengan sambutan menggalakkan, acara perahu berhias diyakini bakal menjadi acara tahunan dalam kalendar Regata Kalaka, sekali gus memperkaya warisan budaya dan merancakkan industri pelancongan di Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman