KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuching akan membayar Cukai Jualan Negeri (SST) kepada Kerajaan Sarawak melalui tujuh anak syarikatnya.
Kesemua anak syarikat termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd yang dikenal pasti akan didaftarkan sebagai orang kena cukai di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 menjelang 15 Ogos ini.
Terdahulu prosiding mahkamah semalam (6Ogos) diadakan di hadapan Hakim Alexander Alexander Siew How Wai.
Sementara Petronas diwakili peguam Andy Tan yang hadir bagi pihak Alvin Chong dan Kerajaan Sarawak diwakili Peguam Datuk Sri JC Fong dan Nur Azhar Bujang.
Semalam juga menyaksikan kerajaan Sarawak tidak akan meneruskan saman terhadap syarikat minyak dan gas itu.
Atas persetujuan semua pihak untuk menarik balik rayuan itu dan tuntutan balas serta syarat lain, Hakim Alexander Siew How Wai memerintahkan agar tindakan rayuan dan tuntutan balas tersebut dihentikan dan pihak tersebut menanggung kos mereka sendiri.
Ketika ditemui pemberita, JC Fong meminta pemberita merujuk kenyataan rasmi Kerajaan Sarawak untuk keterangan lanjut mengapa kes berkenaan ditarik balik.
“Saya tidak perlu mengatakan apa-apa lagi kerana kesnya sudah selesai,” ujarnya.
Pada 3 Ogos lalu, Bernama melaporkan Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak menuntut SST atas produk petroleum, sementara Kerajaan Sarawak juga menarik balik rayuan balasnya atas isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi pada SST.
Oleh Diyana Samsuddin