
KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat penyanyi Nurshahila Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai Shila Amzah yang mendakwa diserang seorang penyanyi legenda semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata Shila telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.31 petang semalam.
“Setakat ini, individu yang dikatakan menyerang penyanyi itu masih belum dipanggil, namun tindakan sedang diambil untuk mendapatkan keterangan daripadanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan kecederaan atau sentuhan secara fizikal.
Semalam, media melaporkan Shila mendakwa dirinya telah diserang secara terbuka oleh seorang artis bertaraf legenda ketika sesi latihan bagi sebuah konsert.– Bernama