Penyanyi popular India Suresh Peters bakal buat penampilan sulung di JB

Facebook
WhatsApp
PENYANYI dan komposer India, Suresh Peters bakal membuat penampilan sulung di Johor Bahru menerusi konsert Legends Vibe – Live in JB di Paradigm Mall Convention Centre pada 5 Disember depan.

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Penyanyi dan komposer India, Suresh Peters yang terkenal menerusi sumbangannya dalam muzik filem Tamil pada era 1990-an, bakal membuat persembahan sulung di Johor Bahru menerusi konsert Legends Vibe – Live in JB pada 5 Disember depan.

Pengarah MNESS Productions Dr Muniswaran Sivanathan selaku penganjur konsert, berkata penampilan penyanyi itu bakal menyuntik elemen nostalgia dalam konsert berkenaan yang menghimpunkan barisan artis dengan lagu-lagu yang dekat di hati peminat muzik Tamil daripada pelbagai generasi.

Menurutnya, pernyertaan Suresh Peters di konsert itu menyusuli persembahan beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini selepas sekian lama tidak membuat penampilan di Malaysia.

“Bagi ramai peminatnya di Malaysia, lagu-lagu beliau mengingatkan mereka pada zaman muda, filem-filem yang meninggalkan kenangan dan lagu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan sebuah generasi,” katanya kepada Bernama.

Konsert yang akan berlangsung di Paradigm Mall Convention Centre itu turut menampilkan penyanyi Anuradha Sriram, Krrish, Antony Dasan dan Priyanka.

Muniswaran  yakin konsert itu akan dapat menarik kehadiran peminat yang membesar dengan lagu-lagu filem Tamil  era 1990-an serta awal 2000-an serta generasi lebih muda yang mengenali lagu-lagu klasik menerusi keluarga, platform pentsriman serta media sosial.

 “Muzik ialah antara medium paling berkesan untuk menghubungkan generasi. Kami mahu ibu bapa menikmati lagu kegemaran mereka dengan anak-anak sambil memberi peluang kepada peminat muda merasai kemeriahan menyaksikan artis-artis ini membuat persembahan secara langsung,” katanya.

Menyasarkan kehadiran 2,500 penonton termasuk dari Singapura, beliau berkata tiket dijual pada harga antara RM99 hingga RM499 menerusi promosi khas Deepavali, dengan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MyTicket.Asia dalam tempoh dua minggu lagi. – Bernama