
BEKENU: Seramai 10 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), terdiri daripada dua Ketua Masyarakat dan lapan Ketua Kaum dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, menerima sijil pelantikan secara rasmi di sini, hari ini.
Manakala 13 Ketua Kaum sedia ada turut menerima sijil pelanjutan jawatan pada satu majlis yang diadakan di Pejabat Daerah Subis.
Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus.
Datuk Rosey yang juga ADUN Bekenu turut mengingatkan semua pemimpin komuniti agar melaksanakan tugas dengan adil, penuh komitmen, dan bertanggungjawab sebagai mata dan telinga kerajaan Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa peranan KMKK sangat penting dalam memastikan kestabilan, keharmonian dan penyampaian dasar-dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya harap semua yang dilantik akan menjalankan tugas dengan sepenuh hati, menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan, serta memantau kebajikan penduduk dengan teliti,” ujar beliau dalam ucapannya.
Pelantikan dan pelanjutan jawatan ini diharap dapat memperkukuhkan lagi struktur kepimpinan di peringkat komuniti dalam memastikan segala isu dan keperluan rakyat terus disampaikan secara berkesan kepada pihak berkuasa.
Sehubunga itu, dua ketua masyarakat baharu ialah Penghulu Kassim Sahak dan Penghulu Masta Dris.
Seterusnya lapan ketua kaum baharu iaitu Tuai Rumah Tr. Edward Asnan (Saeh), Tr. Roslin Muwau Joseph (Bakas), KK Noria Akup (Kayu Kapor), Tr. Nomi Sikun (Saeh), Tr. Rosylind Bani Kupang (Serunggut), Tr. Agnes Lukit Abau (Tanggap), Tr. Beriak Awal (Saeh) dan Sapri Noh (Bukit Bom).
Turut hadir Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan Pemanca Dr Ali Mudin serta ketua-ketua masyarakat dan kaum setempat.
Oleh Adum Liu