KUCHING: Sejumlah 162,298 permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC) diterima dari seluruh Sarawak setakat 4 Ogos.
Daripada jumlah itu 96,712 telah dicetak dan 19,528 lagi berjaya diedarkan kepada penerima yang layak.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah menegaskan, KGC bukan satu kad yang digunakan untuk mendapatkan bantuan kewangan seperti yang dilakukan oleh pemegang KGC di negeri ini.
“KGC dilancarkan Kerajaan Sarawak khas untuk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di negeri ini dan ia adalah satu peluang bagi mereka mendapatkan potongan harga dan rebat melalui vendor kedai yang terpilih,” katanya.
Beliau turut memberi contoh seperti di Kuching, terdapat lebih 46 vendor mengesahkan diri dan menjadi rakan strategik KGC ini yang akan menawarkan diskaun dan perkhidmatan kepada pemegang.
“Untuk menyemak status permohonan atau sebarang pertanyaan mengenai KGC, sila layari atau hubungi www.kenyalanggold.com, Facebook Page: (iSarawakCare) dan talian bantuan Kebajikan Sarawak 082-514141,” ujarnya lagi.
Katanya, sekiranya terdapat kesilapan ejaan nama atau nombor kad pengenalan, sila kembalikan kad tersebut kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian untuk tujuan pembetulan dan cetakan semula oleh pihak yang berwajib.
Oleh Nur Ain Otsman