
SARATOK: Pasukan Command dari Kabong membuktikan keunggulan mereka apabila dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Tarik Tali Piala YB Mohamad Duri yang berlangsung sempena Pesta Saratok 2025 di Dataran Sri Kalaka, semalam.
Dalam perlawanan akhir yang mencuri tumpuan ramai, pasukan Command berjaya menumpaskan pencabar utama mereka, pasukan Firefly dari Kampung Perpat, sekali gus membawa pulang gelaran juara kategori lelaki.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Triple Hook dari Bintangor, manakala Black Mamba dari Sarikei berada di kedudukan keempat.
Bagi kategori wanita, pasukan Titans Queen dari Sibu tampil cemerlang dan merangkul kejuaraan setelah menewaskan Sik Jerak Girl dari Gerigat di peringkat akhir manakala tempat ketiga disandang oleh Triple Hook Women dari Bintangor serta MEFA Tow dari Sibu menduduki tempat keempat.

Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Pengerusi pertandingan, Putera Ila memaklumkan bahawa kejohanan kali ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan 18 pasukan keseluruhan, terdiri daripada 12 pasukan lelaki dan enam pasukan wanita dari pelbagai daerah.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak terutamanya penganjur serta ahli jawatankuasa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas penganjuran yang lancar dan meriah dalam memeriahkan lagi Pesta Saratok 2025 kali ini,” kata Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman