KUALA LUMPUR: Rakyat diminta lebih berdisiplin menggunakan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan untuk membolehkan pelaksanaan penilaian kesihatan kendiri bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kegagalan rakyat terutama individu yang pulang dari luar negara menggunakan aplikasi itu boleh mengundang kepada peningkatan kes wabak penyakit tersebut dalam kalangan masyarakat.
“Kita bimbang kealpaan dan kelalaian rakyat sendiri selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Contohnya, mereka yang baru pulang dari luar negara dikenakan HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) langgar peraturan seperti keluar dari rumah, potong gelang tangan (pengesanan Covid-19) dan masa HSO, mereka tidak membuat penilaian kesihatan kendiri.
“Kita dapati (satu kajian) menunjukkan 24.6 peratus daripada 31,000 individu dikenakan HSO tidak membuat pemeriksaan penilaian kesihatan kendiri dalam aplikasi MySejahera. Mereka sepatutnya buat setiap hari, tetapi tidak membuatnya dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio semalam.
Beliau berkata, individu dikuarantin yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera juga menyukarkan pihak bertanggungjawab mengesan keberadaan dan menilai tahap kesihatan individu terbabit, selain kegagalan mereka mematuhi arahan itu bakal berdepan tindakan undang-undang.
Dr Noor Azmi berkata, aplikasi MySejahtera itu berguna bagi membantu Kementerian Kesihatan mengenal pasti kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat selain tidak mengundang kluster baharu seperti Kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah dan Sentosa di Kuching.
Selasa lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tumpuan awam yang sesak berkuat kuasa 1 Ogos juga merupakan langkah tepat diambil kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, beliau berkata kerajaan akan membuat keputusan berdasarkan fakta situasi semasa dan perubahan perkembangan sifar kes jangkitan dalam negara.
“…sama ada PKPP disambung atau tidak atau PKP lain bergantung kepada keadaan,” katanya. – Bernama