
KUCHING: Kursus GKP3253 Pengurusan Seni, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah menganjurkan Seminar Asal Usul Astana Dalam Masyarakat Dahulu yang berlangsung di Pusat Penerangan Islam (IIC), Jalan Ong Tiang Swee, hari ini.
Seminar tersebut menampilkan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang juga pakar sejarah tempatan, Datu Dr. Sanib Said, sebagai penceramah jemputan khas.
Dalam pembentangannya, Datu Dr. Sanib menjelaskan secara terperinci mengenai konsep dan asal usul Astana dalam masyarakat silam, termasuk peranannya sebagai lambang institusi pemerintahan serta warisan kebudayaan penting dalam sejarah Sarawak dan dunia Melayu amnya.
Program ini dihadiri lebih 60 peserta secara bersemuka dan turut mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan tempatan seperti Persatuan Warga Islam Saribas, Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak, Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.
Selain kehadiran fizikal, seminar turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan menerima sambutan yang menggalakkan dengan lebih 1,500 tontonan dalam talian.
Penganjuran seminar ini diharap dapat menjadi wadah pendidikan serta perkongsian ilmu yang memperkukuh kesedaran dan penghargaan terhadap sejarah serta warisan budaya tempatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Oleh Masrin Affirah