
BARIO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan yang lebih aktif sebagai pemacu pembangunan luar bandar serta penjaga keharmonian komuniti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, KMKK bukan sekadar pemimpin lantikan, sebaliknya pemegang amanah rakyat dan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan secara adil dan menyeluruh.
“Peranan KMKK sangat penting dalam menyampaikan suara rakyat kepada pengetahuan kerajaan. Jangan tunggu isu menjadi besar baru bertindak. Tugas ini memerlukan disiplin, integriti dan kesungguhan,” katanya dalam sesi amanat kepada 17 orang KMKK di Pejabat Daerah Kecil Bario, semalam.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu turut mengingatkan bahawa dalam menghadapi pelbagai cabaran masyarakat, KMKK perlu bersikap inklusif, tidak berat sebelah dan menjadi ejen perpaduan dalam menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyeru KMKK agar menjadi contoh terbaik kepada generasi muda serta memainkan peranan dalam membina pelapis kepimpinan yang berdaya tahan dan berjiwa komuniti.
Oleh Adum Liu