
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperkenalkan dua acara utama baharu sempena Festival Kuching 2025 iaitu Pertandingan Cosplay Festival Kuching dan The K-Stage: Kuching Festival K-POP Dance Cover Competition.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata kedua-dua acara ini dianjurkan bersama Star Studio dan mencerminkan komitmen berterusan MBKS untuk melibatkan golongan belia secara kreatif, bermakna dan memperkasakan.
“Dalam dunia yang berubah pantas, suara dan minat belia semakin penting. Menyambut budaya dan komuniti juga perlu merangkumi idea, bakat dan impian generasi akan datang,” katanya ketika mengumumkan pelancaran acara tersebut pada sidang media Festival Kuching 2025 hari ini.
Menurut beliau, pertandingan cosplay dan tarian k-pop bukan sekadar acara persembahan, tetapi menjadi platform pembangunan diri, ekspresi kreativiti, keyakinan diri serta kemahiran kerjasama.
Peserta bukan sahaja belajar mengurus masa dan komitmen malah berpeluang berinteraksi secara sosial dalam suasana positif yang menyokong kesejahteraan mental dan fizikal.
“Kami percaya melalui acara seperti ini, MBKS bukan sahaja menyediakan hiburan tetapi juga membuka ruang bagi anak muda meneroka potensi diri mereka,” tambahnya.
Penganjuran ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) iaitu SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Pertandingan Cosplay Festival Kuching 2025 akan berlangsung pada 2 Ogos 2025 (Sabtu) dari 5.00 petang hingga 11.00 malam di Teater MBKS dan terbuka kepada semua warganegara.
Kategori dan hadiah tunai bagi kategori Junior (5–12 tahun) ialah Johan: RM600, naib johan RM400 dan tempat ketiga RM300, manakala anugerah gaya terbaik, watak terbaik dan pilihan penonton RM200 setiap satu.
Bagi kategori terbuka (13 tahun ke atas) Johan akan menerima RM1,000, naib johan RM800 dan tempat ketiga RM500 dan bagi anugerah gaya terbaik, watak terbaik dan pilihan penonton pula RM200 setiap satu.
Penyertaan adalah percuma iaitu tarikh pendaftaran pada 20 Jun hingga 29 Julai 2025 dan borang penyertaan boleh didapati dalam talian link ini https://form.jotform.com/233573434750457.
Manakala The K-Stage: K-POP Dance Cover Competition pula akan diadakan pada 3 Ogos 2025 (Ahad) pada 5.00 petang hingga 10.30 malam di Teater MBKS dan penyertaan kumpulan (minimum 4 orang), terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Hadiah tunai bagi Johan RM2,000, naib johan RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Bagi kostum terbaik pula RM500 dan penari terbaik “Random Dance” ialah RM100 bagi lima orang pemenang.
Penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup penyertaan pada 15 Julai 2025 serta borang penyertaan boleh didapati dalam talian link ini https://forms.gle/e7LfeEzXcBwSKzG67.
Wee turut merakamkan penghargaan kepada Star Studio atas kerjasama, dedikasi dan semangat dalam menjayakan kedua-dua acara tersebut.
Oleh Norman B.