

LIMBANG: Sarawak akan membina Pos Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Pandam dekat sini dan Lumapas Brunei.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara ini pada dasarnya telah dipersetujui dan pernah dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Brunei sebelum ini.
“Pembinaan CIQ Pandam dekat Limbang bukan saja memperkukuh kerjasama keselamatan serta penyelarasan pergerakan rentas sempadan darat antara Malaysia iaitu Sarawak dan Brunei Darussalam, malah memudahkan pergerakan dan mobiliti rakyat.
“Kita pada prinsipnya bersetuju untuk menaiktaraf ICQ di Kampung Pandam ini. Itu yang saya sebutkan tadi sudah ada mobiliti untuk rakyat kita dan Brunei Darussalam.
“Yang penting ialah perhubungan ekonomi antara Brunei dan Sarawak,”katanya ketika ditemui media pada lawatan kerjanya bagi meninjau perkembangan projek Jambatan Sungai Limbang hari ini.
Abang Johari berkata CIQ Pandam amat diperlukan apabila siapnya jambatan kedua menyeberangi Sungai Limbang yang dijangka siap April tahun depan.
Sebelum ini beberapa inisiatif dilaksanakan di peringkat kerajaan untuk membuka satu CIQ iaitu di Pandam – Lumapas yang melibatkan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Brunei.
Apabila CIQ tersebut dibuka, jarak perjalanan dari bandar Limbang ke Brunei hanya 30 minit sahaja, iaitu bandar Limbang ke CIQ Pendam 15 minit dan CIQ Lumapas ke Brunei 15 minit.
Terdahulu Abang Johari turut mengadakan lawatan kerja ke Muzium Limbang.
Oleh ADENG EDRUS