TANJUNG MANIS: Semalam merupakan rezeki bagi seorang gadis penjual udang galah, apabila udang galah sebanyak lima kilogram (kg) yang dijualnya habis di beli oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang dalam perjalanan dari Tanjung Manis ke Sarikei.
Shakira Mujah berusia 18 tahun merupakan seorang gadis yang telah tamat belajar tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor.
Shakira mempunyai lapan adik-beradik, empat lelaki dan empat perempuan. Shakira dan ayahnya, Mujah Juning menjual udang galah di sebuah gerai kayu di tepi jalan berhampiran dengan Jambatan Stubah, Jalan Tanjung Manis – Jalan Sibu.
Gerai beratapkan zink dan bertiangkan kayu itu menjadi pusat rezeki untuk Shakira dan ayahnya. RM300, rezeki udang galah Udang galah tersebut merupakan hasil tangkapan ayahnya di sungaisungai berdekatan dengan rumah panjangnya.
Walaupun kini punca pendapatan mereka terjejas kerana wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencari rezeki dengan menjual hasil tangkapan udang galah.
Harga udang galah yang dijualnya bergantung kepada saiz udang galah. Jika berdasarkan saiz udang galah tersebut, harga udang galah yang dijualnya berharga dalam lingkungan RM50 hingga RM 60 untuk sekilogram.
Shakira Mujah dan ayahnya turut berterima kasih kepada Datu Len kerana membeli habis semua udang galah yang dijual digerai mereka semalam.