CHERYL LAW
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membatalkan penganjuran Bazar Ramadan DBKU sejajar dengan saranan Kerajaan Sarawak yang memutuskan bahawa penganjuran Bazar Ramadan pada tahun ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Sehubungan itu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr. Morshidi Ahmad berkata, pembayaran balik bagi pembelian tapak Bazar Ramadan akan dibuat melalui online transfer yang melibatkan seramai 144 peniaga.
“Justeru, para peniaga dikehendaki untuk mengemukakan dokumen kepada pegawai Bahagian Pelesenan iaitu Encik Razman Salleh di talian 013-5656844 (Tapak Satok) dan Cik Flora di talian 014-8935046 (Tapak Semarak) selewat-lewatnya sebelum atau pada 17 April 2020.
“Antara dokumen yang diperlukan adalah a) Resit Pembayaran Tapak Bazar Ramadan, dan b) Muka Depan Buku Bank atau Muka Surat Pertama Penyata Akaun Bank atas Penama Resit Pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut, Dr. Morshidi berkata, DBKU menyaran peniaga Bazar Ramadan pada tahun ini dapat meneruskan perniagaan mereka secara atas talian dengan menggunakan platform yang sedia ada seperti self-collect, khidmat penghantaran melalui runner ataupun aplikasi penghantaran seperti Grab Food, Food Panda, Helpy Service dan lainlain.
“Selain itu, DBKU juga berharap peniaga makanan sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan pengendalian makanan yang baik agar makanan yang dijual adalah selamat dan bersih serta bebas dari segala kemungkinan yang boleh menyebabkan penyakit bawaan
makanan dan minuman seperti keracunan makanan.
Selain itu, sebarang penggunaan bekas Styrofoam atau polystyrene tidak dibenarkan. “Di samping itu, DBKU turut menyarankan agar runner yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memandu atau menunggang kereta atau motosikal dengan cermat dan berhemah serta pencegahan Covid-19 seperti memakai topeng muka, sentiasa mencuci tangan dengan pencuci tangan, mengamalkan penghantaran tidak bersentuhan, mematuhi jarak sosial satu meter di antara satu sama lain dan meletakkan pesanan makanan di dalam bekas yang disediakan khas oleh pelanggan (jika ada),” jelasnya.
Ujarnya, mohon kerjasama orang awam untuk menjaga diri masing-masing serta patuh kepada arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan agar rantaian wabak Covid-19 dapat dihentikan.