Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • ‘Squid Game’ musim ketiga pertembungan terakhir Gi-hun, Front Man
  • HIBURAN

‘Squid Game’ musim ketiga pertembungan terakhir Gi-hun, Front Man

Utusan Sarawak 11 hours ago
POSTER Squid Game musim ketiga.

SEOUL: Musim ketiga dan terakhir siri sensasi global ‘Squid Game’ bakal mengetengahkan persoalan asas sama ada manusia mampu mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang, kata pengarahnya hari ini, sambil menegaskan siri ini lebih menjurus kepada penerokaan berbanding jawapan muktamad, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Dalam persaingan sengit masyarakat kapitalis, saya mahu karya ini mengajukan persoalan – bolehkah manusia membina dunia yang lebih baik? Mampukah kita mewariskan dunia yang mampan kepada generasi akan datang?” kata pencipta, penulis dan penerbit eksekutif siri itu, Hwang Dong-hyuk, dalam sidang media mempromosikan musim baharu di Seoul.

“Sepanjang lima tahun lalu, kami mencurahkan sepenuh usaha untuk menghasilkan siri ini. Dalam episod penamat nanti, akan berlaku pertembungan antara Gi-hun dan Front Man berkaitan pegangan asas mereka terhadap nilai kemanusiaan dan pandangan masing-masing terhadap dunia. Anda boleh anggap ia sebagai pertembungan nilai teras mereka,” katanya.

Musim terbaharu yang disifatkan pengarah sebagai musim kegemarannya itu akan menamatkan keseluruhan kisah ‘Squid Game’, dengan naratif yang menyelami pergolakan dalaman dan harapan yang kian pudar.

Ia khususnya akan menggambarkan perjuangan Gi-hun mencari jalan keluar daripada kekecewaan susulan kematian sahabat baiknya, Jung-bae, dalam permainan maut, menurut Hwang.

Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk meneroka batas akhir harapan – saat segala-galanya musnah. “Apabila semua harapan padam dan yang tinggal hanyalah keputusasaan – apa yang menanti selepas itu?” soalnya.

Pelakon Lee Jung-jae yang memegang watak utama Gi-hun menyifatkan kejayaan siri ini berpunca daripada keupayaannya menyatukan tema besar dengan kisah peribadi individu.

“Saya dapati menarik apabila peminat, baik di dalam mahupun luar negara, masing-masing mempunyai watak kegemaran sendiri,” katanya dalam sidang media itu. “Saya sangat berbangga dapat berhubung dengan penonton menerusi siri jangka panjang ini. Saya tidak sabar melihat reaksi mereka terhadap musim baharu nanti.”

Lee Byung-hun, yang memainkan watak Front Man, pula berkata kejayaan drama itu banyak didorong oleh mesej politik dan sosialnya yang mendalam serta resonan dengan penonton global.

“Siri ini sangat digemari di pelbagai negara yang berbeza budaya dan bahasa kerana mereka semua dapat memahami mesej yang diketengahkan.”

Pengarah Hwang menyifatkan kejayaan siri ini sebagai sesuatu yang ajaib dan merancang untuk memanfaatkan pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh daripada ‘Squid Game’ bagi projek seterusnya.

“Setiap projek baharu dimulakan dengan harapan untuk berjaya, tetapi mencapai tahap ini adalah sesuatu yang luar biasa. Segala yang saya pelajari semasa penghasilan siri ini akan menjadi asas untuk karya saya yang akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Hwang menolak kemungkinan musim keempat, sekali gus mengecewakan ramai peminat, tetapi tidak menolak potensi untuk menghasilkan kisah susulan (spin-off).

“Saya tiada perancangan untuk Musim 4, tetapi saya sudah ada idea untuk filem. Jika ada peluang, saya juga terbuka kepada idea spin-off,” katanya.

‘Squid Game’ Musim 3 dijadual dilancarkan pada 27 Jun ini.

-Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Filem pendek ‘Space Between’ bakal temui penonton 15 Jun ini di TVS
Next: Ejen Ali The Movie 2 raih RM50.7 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.