
PETRA JAYA: Sebanyak 49 projek menerusi Jawatankuasa Sektor Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Wanita Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah disenaraikan di bawah bidang tanggungjawab jawatankuasa berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata daripada jumlah itu, 22 projek melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong dengan keseluruhan nilai projek dianggarkan berjumlah RM67.92 juta.
“Kesemua 22 projek di DUN Kabong masih berada di peringkat perancangan, antara projek yang dirancang termasuk pembinaan dan naik taraf dewan masyarakat, pembinaan terminal bot bagi kemudahan pengangkutan air, pembangunan taman awam dan rekreasi.
“Selain itu pembinaan Kompleks Sukan Kabong, pembangunan Taman Agro Pelancongan Nipah dan penyediaan serta penaik tarafan fasiliti surau dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sektor Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Wanita BDDA Bil. 2/2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam di Kompleks DUN Sarawak, petang tadi.
Chee Kadir turut menyuarakan sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan sosial di kawasan luar bandar demi meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
“Mesyuarat ini merupakan platform penyelarasan penting antara pemimpin, agensi pelaksana dan pihak berkepentingan untuk memastikan projek-projek dirancang dilaksanakan secara cekap, berimpak tinggi dan memenuhi keperluan sebenar rakyat di kawasan Betong, khususnya Kabong,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman