
MARUDI: Sebanyak lima ekor lembu korban telah disumbangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil sempena sambutan Aidiladha, tahun ini.
Lembu-lembu korban tersebut telah diagihkan kepada beberapa kampung di kawasan Marudi, iaitu Kampung Narum, Kampung Dagang, Kampung Pemindahan, Kampung Dato Zain Galau, dan Kampung Benawa. Agihan dilakukan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.
Ketua Kampung Narum, Hashim Tobi, merakamkan ucapan terima kasih kepada Penguang atas sumbangan tersebut.
Hashim Tobi menyatakan bahawa sumbangan ini bukan sahaja membolehkan ibadah korban dilaksanakan, malah turut memeriahkan sambutan Aidiladha dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Pemindahan, Man Galau, turut menyatakan penghargaan Penguang terhadap keprihatinan wakil rakyat tersebut.
Katanya, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Selain menzahirkan semangat gotong-royong, sumbangan ini juga memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk,” ujar Man Galau.
Oleh Jiku Juguong