MARUDI: Penduduk Rumah Budin Nawek, Sg. Tuyut menyuarakan komitmen dan memberi sokongan kepada Datu Penguang Manggil dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan pembangunan infrastuktur asas dan sosioekonomi penduduk di rumah panjang tersebut terbela.
Sokongan itu disuarakan penduduk ketika mengadakan sesi randau bersama Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi yang diadakan di rumah panjang berkenaan baru-baru ini.
Penduduk di situ juga sebulat suara menolak politik kebencian dan hasut-menghasut yang semakin menjadi-jadi.
Pada sesi randau tersebut, Penguang berkata bahawa pihak kerajaan sedang melaksanakan kerja penyambungan elektrik di bawah program RES Phase -1 iaitu ke Sg Tuyut, Bukit Limau, Sg. Nat dan Sg. Lamah serta menaik taraf jalan tanah ke jalan gravel.
“Ini adalah sangat penting bagi rumah panjang yang telah ketinggalan dari segi pembanguan asas,” kata Penguang.
Beliau turut kagum dengan warga belia rumah panjang ini yang sangat aktif dan bersemangat dalam memajukan rumah panjang mereka.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Alexander Asing, Pengerusi Majlis daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai, SAO Marliney, Pemanca Enggah, Penghulu Kalang, serta ketua masyarakat yang lain.
Pada majlis tersebut, Penguang turut menyerahkan cek peruntukan MRP kepada JKKK Rumah Budin Nawek (RM32,000), Biro Wanitanya (RM5,000), JKKK Rumah John Mato (RM20,000), JKKK Rumah Agnes Ngerega (RM15,000) dan JKKK Rumah Galau (RM15,000).
Oleh Jiku Juguong