BINTULU: Sebuah premis makanan di kawasan Parkcity di sini telah diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini selepas didapati beroperasi dalam keadaan tidak bersih serta melanggar peruntukan di bawah Seksyen 23(1), Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999.
Tindakan penguatkuasaan itu diketuai oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, dengan bantuan tiga anggota daripada Unit Kawalan Kebersihan dan Keselamatan Makanan, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Menurut jurucakap BDA menerusi satu kenyataan, arahan penutupan tersebut bertujuan memberi ruang kepada pemilik premis untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh agar tahap kebersihan dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“BDA tidak akan berkompromi terhadap pemilik premis atau pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan.
“Semua pengendali makanan wajib menjaga kebersihan premis dan memastikan makanan yang disediakan adalah selamat untuk dimakan,” menurut kenyataan itu.
BDA turut mengingatkan bahawa kelalaian dalam aspek kebersihan boleh menjejaskan kesihatan pengguna serta meningkatkan risiko pencemaran makanan.
Sehubungan itu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis makanan di Bintulu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Oleh Carolyne Utih