
IGAN: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi terus memperkukuh komitmennya dalam memajukan kawasan luar bandar dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya penduduk rumah panjang dan komuniti pedalaman.
Terbaru, beliau mengumumkan penyempurnaan projek pembinaan culvert ke jalan Rumah Panjang Mission Sanggau yang telah dirasmikan secara rasmi sempena Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak 2025 di Rumah Mission, Sungai Ilas, Matu.
“Projek ini dijangka akan memberikan kemudahan akses yang lebih selamat dan lancar kepada penduduk, terutamanya semasa musim hujan,” katanya berucap pada majlis tersebut yang berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat semalam.

Ahmad Johnie turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Iban di kawasan Igan atas semangat perpaduan dan keharmonian yang ditunjukkan dalam sambutan Gawai Dayak, yang disifatkannya sebagai pemangkin penting kepada pembangunan berterusan di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Parlimen Igan adalah asas kepada kejayaan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Teruskan perpaduan dan kerjasama dalam memacu pembangunan kawasan Parlimen Igan.
“Dengan semangat ini, lebih banyak kemajuan boleh dicapai bersama,” tegasnya.
Dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan di kawasan luar bandar, beliau turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kebuaw, Igan bagi pembelian peralatan sekolah.
Peruntukan ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan pendidikan dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi pelajar.
Selain itu, beliau turut menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM29,000 kepada lima rumah panjang di kawasan tersebut.
Sumbangan itu bertujuan menyokong usaha pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan asas, sejajar dengan misi beliau untuk membawa pembangunan seimbang kepada semua lapisan masyarakat.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen konsisten Ahmad Johnie dalam memastikan pembangunan di kawasannya tidak terpinggir, selari dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Dengan pendekatan berteraskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan, Ahmad Johnie dilihat terus menjadi suara efektif di Parlimen bagi memastikan keperluan komuniti luar bandar di kawasan Igan sentiasa mendapat perhatian.— UKAS