
KUCHING: Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai 2025 yang berlangsung, hari ini.
Majlis yang menjadi simbol kebersamaan rakyat pelbagai kaum itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Ketibaan Abang Johari sekitar 10.30 pagi diikuti Tun Wan Junaidi 10 minit kemudian, disambut mesra oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sebagai simbolik pelancaran, Tun Wan Junaidi berkenan memimpin ‘Gawai Toast’ di hadapan ribuan hadirin, menandakan pembukaan rasmi acara tahunan itu yang saban tahun dinanti-nantikan.
Program ini bukan sahaja menonjolkan warisan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negeri ini.
Acara berlangsung dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan pelbagai persembahan kebudayaan, juadah tradisional dan aktiviti interaktif yang menggamit kemeriahan suasana.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah