



KUCHING: Penyokong Liverpool di sini hari ini menyambut kejayaan pasukan itu yang menjuarai Liga Perdana Inggeris di Anfield baru-baru ini.
Kuching Reds Parade itu diadakan di The Spring di sini bagi meraikan kejayaan manis bagi kali ke-20.
Acara bermula pada jam 1 petang dengan ketibaan bas berhias ala Anfield yang menjadi tarikan utama, diikuti sesi ramah mesra dan peluang bergambar bersama penyokong yang hadir dengan jersi merah dan membawa bendera kelab.
Sorakan peminat bertambah gemuruh apabila ‘trofi Champions Cup’ diarak dalam pusat beli-belah itu, diiringi nyanyian lagu rasmi Liverpool dan sidang media khas bagi mengukuhkan semangat komuniti ‘Reds’ di Kuching.
Parade kemudiannya diteruskan dengan konvoi kenderaan termasuk supercar dan motosikal menyusuri jalan utama bandar Kuching sebagai penutup, menonjolkan kesetiaan dan kegembiraan penyokong Liverpool FC di Sarawak.
Baru-baru ini, Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris di Anfield sebagai antara detik paling manis dalam hidupnya, sambil mula mengalihkan tumpuan kepada persiapan musim depan.
Slot yang baru musim pertama membimbing The Reds, membawa kelab itu menamatkan kemarau kejuaraan dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur, sekali gus merangkul gelaran liga ke-20 – pencapaian rekod baharu dalam sejarah bola sepak England.
Oleh MASRIN AFFIRAH