
KUALA LUMPUR: Jenazah wartawan veteran Fauziah Rauf, 81, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru di sini pada 2.30 petang tadi.
Solat jenazah dan pengebumian Allahyarham dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai termasuk penulis lirik terkenal Datuk Habsah Hassan.
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang juga Pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu meninggalkan empat anak dan 13 cucu.
Berkongsi mengenai ibunya, Firhat Yasir Omar Sudi, 46, berkata sebagai anak bongsu, beliau paling rapat dengan Allahyarham dan mereka tinggal bersama.
“Saya sedikit terkilan kerana tidak berada di samping ibu ketika dia terjatuh selepas mengambil wuduk semasa ingin menunaikan solat Maghrib semalam,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Firhat berkata beliau terkejut melihat ibunya telungkup di depan bilik air dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kembali dari mengambil anak.
“Saya mengangkat ibu ke atas katil, ketika itu denyutan nadi masih ada sebelum menghubungi pihak hospital dan kemudian ibu dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Namun, usia ibu tidak panjang, doktor memaklumkan ibu meninggal dunia pada 1.00 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, anak sulungnya Nilly Wahida Omar Sudi, 54, berkata beliau pasti akan merindui gurau senda ibunya yang sukan berlawak namun tegas dan kadangkala garang dengan anak-anak.
Fauziah yang juga antara pengarang wanita terawal meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1.00 pagi tadi akibat pendarahan di kepala.
Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarham turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an.
-Bernama