
KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS) menerima sokongan padu daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merealisasikan projek pembangunan ‘Lebuk Melanau’, sebuah kompleks pelbagai guna yang bakal memberi impak besar kepada komuniti dan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berimpak tinggi yang dianggarkan bernilai RM55 juta itu akan dibina di atas tanah seluas lebih dua ekar dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menurut beliau, pembangunan tersebut melibatkan pembinaan sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat yang akan menempatkan dewan serbaguna, pangsapuri, ruang kerja, kantin dan pelbagai kemudahan sokongan lain bagi memenuhi keperluan komuniti setempat serta pelawat profesional.
“Kami melihat potensi besar kawasan ini kerana lokasinya yang amat strategik, berhampiran Universiti Swinburne, Borneo Medical Centre dan Bangunan Sultan Iskandar.
“Ia amat sesuai dijadikan pilihan penginapan sementara bagi pensyarah luar negara, pakar perubatan atau sesiapa sahaja yang datang berkhidmat di Sarawak untuk tempoh jangka pendek atau panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat LAKKMS terhadap Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada hari ini.
Jelasnya lanjut, reka bentuk serta konsep bangunan tersebut telah pun dimuktamadkan, dan kini projek berkenaan berada di peringkat akhir perincian sebelum ditenderkan, dijangka sekitar Ogos atau September tahun ini.
“Kita turut menerima pandangan strategik daripada Premier Sarawak yang mencadangkan beberapa penambahbaikan pada pelan asal, agar pembangunan ini lebih berimpak dan selari dengan persekitaran lokasinya.
“Sehubungan itu, kita akan melakukan sedikit semakan semula terhadap reka bentuk sedia ada,”tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar projek ini dapat disiapkan sebelum temasya Sukan SEA akan datang, sekali gus menambah nilai kepada kemudahan bandar dan menyokong aspirasi Sarawak dalam memperkukuh pelancongan perubatan dan pendidikan.
-UKAS