
KUALA LUMPUR: Anak syarikat Velesto Energy Bhd (Velesto), Velesto Drilling Sdn Bhd meraih kontrak penggerudian baharu dianggarkan bernilai lebih AS$90 juta (AS$1=RM4.25) daripada PC Ketapang II Ltd, PC North Madura II Ltd dan Petronas North Ketapang Sdn Bhd.
Kontrak berkenaan bagi pelantar jenis jack-up NAGA 8 di Indonesia.
Di bawah kontrak selama empat tahun yang dijadualkan bermula pada Julai, syarikat akan menyediakan perkhidmatan pelantar penggerudian yang merangkumi 12 telaga tetap dan tiga telaga pilihan.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam satu kenyataan yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak berkenaan dijangka menyokong kadar penggunaan pelantar dan keterlihatan pendapatan Velesto dari 2025 hingga 2028.
“Tempoh penangguhan dijadualkan dari Februari hingga Julai 2026 apabila syarikat mengekalkan hak untuk memasarkan pelantar jenis jack-up NAGA 8 bagi peluang lain dan operasi dijangka disambung semula pada Julai 2026,” katanya.
Sementara itu, Presiden Velesto Megat Zariman Abdul Rahim berkata penerimaan kontrak tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan jejaknya di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai kontrak kedua yang diperoleh di rantau ini, ia mengukuhkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan strategik ini.
“Tumpuan kami kekal kepada membina portfolio kontrak yang kukuh bagi mempertingkat prospek syarikat selain mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
NAGA 8 merupakan pelantar penggerudian jenis jack-up cantilever berkaki bebas kelas premium dengan keupayaan penggerudian sedalam 9,144 meter dan mempunyai kedalaman operasi berperingkat sehingga 121.92 meter.–Bernama