Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • PUISI
  • WBS

PUISI

Utusan Sarawak 1 day ago

Tinta Tak Pernah Tua

Pada usia enam puluh enam

engkau bukan lagi sekadar nama di dinding sekolah

tetapi gema dalam setiap hela nafas waktu

yang masih menyusun aksara dengan sabar yang agung.

Dulu langkahmu menggema di lorong ilmu

menghimpun pagi-pagi anak bangsa

dengan suara yang bukan sekadar arah

tetapi doa yang berjalan dalam diam.

Kini setelah kerusi pengetua sunyi

engkau masih berdiri di sisi kata

membasuh dunia dengan puisi

seperti rukuk sunyi yang tak pernah berhenti.

Kerana engkau tahu

bahawa mendidik bukan hanya di dalam kelas

tetapi juga dalam bait yang menggugah

dan tinta-tinta itu tidak pernah tua.

Hipnie Sharbini

Miri, Sarawak

Dialah Guru

Di bawah redup bangunan ini

seorang guru bijaksana

membentuk anak-anak bangsa

di pinggir desa

dengan tulus dan gigih

seperti air sungai jernih

yang tak pernah berhenti

mengalir ke laut.

Dialah seorang guru

berbekalkan sarat ilmu

di kantung minda

menggalas tekad dan niat murni

menyepuh kemenjadian anak didik

jadi sempurna jati diri

dan tajam akhlak mereka

mengalirkan hikmah

ke jiwa anak bangsa

umpama sungai bening

yang sabar menyusur

liku-liku tanah.

Seorang guru penuh wibawa

dengan senyum dia menawar duka

demi cita-cita

menegakkan tiang peradaban

untuk nusa dan bangsa

agar nanti dewasa mereka

menjadi insan mulia dan perkasa

mewarisi santun pekerti

menuntun hari tua dengan kesempurnaan

seperti arus sungai

yang membawa benih ke muara.

Mohd Noor Asa’a

Hari Pertama Sekolah

Lima tahun yang lalu,

Engkau masih duduk di ribaan ibu,

Enak bersandar dengan kehangatan pelukan ibu,

Tersenyum tertawa memandang ibu,

Dan engkau genggam erat tangan ibu,

Seakan mengerti kerasnya dunia di hadapanmu.

Lima tahun yang lalu,

Engkau belajar bertatih dengan pimpinan ibu,

Terjatuh namun bangkit semula  tanpa jemu,

Meskipun kelopak matamu semakin berkaca,

Percayalah anakku,

Mutiara jernih itu yang mendewasakanmu.

Hari ini,

Hari pertama di bangku sekolah,

Pandanganmu bersinar kerana hatimu riang,

Melihat ramai teman baru,

Bersemangat  melangkah bersama azam di dada,

Hari ini,

Ibu pakaikan seragam baru,

Bekalkan kucupan serta doa ibu,

Agar lancar segala urusanmu sayangku.

Di tempat ini, di ruang ini,

Engkau akan belajar menerima,

Menerima teguran, menerima didikan,

Juga menerima sebuah persahabatan.

Bergembiralah anakku,

Tuntutlah sejuta ilmu,

Buat bekalan usia mudamu,

Bermainlah bersama sahabat baru,

Kerana mereka bakal menceriakan hari-harimu.

Shaziza Amira

Kampung Pangkalan Bau

Continue Reading

Previous: Mencari Makna dalam Sajak
Next: Latar dan Tautan Cerita dalam Cerpen Cikgu, Sampah Cikgu!

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.