

PETRA JAYA: Pelaksanaan Fasa 1 bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kini mencatat kemajuan 29.89 peratus setakat April tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kerja-kerja pelaksanaan projek akan dijalankan secara berperingkat, dengan bahagian pertama membabitkan Laluan Biru dari Rembus ke Riveria dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2026.
“Tarikh operasi tersebut merupakan pelarasan daripada jadual asal susulan beberapa faktor kelewatan dalam aspek pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan See Chee How (Bebas-Batu Lintang) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Jerip turut menjelaskan bahawa operasi sepenuhnya bagi keseluruhan Fasa 1 projek KUTS dijangka dapat dimulakan menjelang 2028.
Fasa pertama KUTS merangkumi Sisten Aliran Transit Automasi (ART) sepanjang sekitar 69.9 kilometer dengan tiga laluan utama yang dirancang serta melibatkan pembinaan sebanyak 31 stesen bagi memenuhi keperluan pengangkutan awam di kawasan Greater Kuching.
Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri ke arah memperkasakan sistem mobiliti hijau dan mampan di bandar raya ini.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah