

CARI PENDAPATAN… Noreen Mohd Hairol semasa bekerja di sebuah kilang membuat kek lapis di Miri.
MIRI: Kejayaan tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada pengorbanan, ketekunan dan keberanian menghadapi cabaran.
Itulah yang dibuktikan oleh seorang pelajar dari SMK Agama Miri, Noreen Mohd Hairol apabila beliau berjaya meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Sementara menunggu keputusan peperiksaan, Noreen mengambil keputusan berani untuk mengisi masa dengan bekerja sebuah kilang membuat kek lapis di sini.
Baginya, tempoh itu bukan hanya peluang untuk mencari pendapatan, tetapi juga ruang membentuk jati diri serta menimba pengalaman sebenar dunia pekerjaan.
“Bekerja di kilang kek lapis membuka mata saya tentang erti kesungguhan dan disiplin. Saya belajar menghormati orang lain, bekerja dalam satu pasukan, dan lebih menghargai nilai usaha sendiri,” kata Noreen yang bersemangat berkongsi pengalamannya.
Beliau mengakui seronok bekerja di kilang tersebut kerana berpeluang bergaul dengan rakan sekerja dari pelbagai latar umur, membina kemahiran sosial yang penting untuk masa hadapan.
Minat dalam bidang pendidikan, Noreen menyimpan hasrat besar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang pilihan.
Kini dia sedang mencari peluang biasiswa untuk sambung pengajian dan kembali berbakti kepada Sarawak.
Dalam pada itu, Noreen turut melahirkan penghargaan mendalam kepada barisan guru yang telah menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru saya. Tanpa usaha, bimbingan dan doa mereka, saya tidak mungkin berdiri di sini hari ini,” katanya penuh sebak.
Kisah inspirasi Noreen membuktikan bahawa ketabahan dan usaha gigih mampu mengatasi segala kekangan, dan menjadi pendorong kepada anak-anak muda lain untuk berani bermimpi dan berusaha mencapainya.
Oleh Liong Chai Ling