APM Betong hapus ancaman sarang tebuan di kebun sawit Tisak Ulu

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Betong berjaya memusnahkan sarang tebuan di sebuah kebun sawit di Tisak Ulu, semalam. Foto APM Betong

BETONG: Sarang tebuan berukuran kira-kira sebesar tayar kereta Perodua Kancil yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk berjaya dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong di sebuah kebun sawit di Tisak Ulu, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kewujudan sarang tebuan itu pada 9.53 pagi.

Menurutnya, pasukan APM Betong kemudian bergerak ke lokasi pada 6.10 petang dan tiba kira-kira 46 minit kemudian bagi menjalankan tindakan pemusnahan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat sebuah sarang tebuan berukuran kira-kira sebesar tayar kereta Perodua Kancil.

“Keadaan itu berpotensi mengancam keselamatan penduduk dan pemilik kebun sekiranya tidak ditangani,” katanya dalam satu kenyataan.

HAPUS… Anggota APM Betong memusnahkan sarang tebuan menggunakan teknik pembakaran dalam operasi di sebuah kebun sawit di Tisak Ulu, semalam. Foto APM Betong

Beliau berkata, bagi memastikan ancaman berkenaan dihapuskan, anggota APM mengambil tindakan memusnahkan sarang tersebut menggunakan teknik pembakaran dengan mengutamakan aspek keselamatan sepanjang operasi.

Operasi berkenaan melibatkan tiga anggota APM Betong dengan sokongan peralatan keselamatan termasuk baju lebah, helmet keselamatan, sarung tangan dan galah, selain sebuah kenderaan JMC LRV.

Mohammad Noor berkata, operasi selesai pada 7.27 malam.

Katanya, tindakan pantas APM dalam menangani ancaman seperti sarang tebuan penting bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan kebun dan persekitaran yang berisiko.

“APM Betong sentiasa bersedia memberikan bantuan kepada masyarakat dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan dan ancaman keselamatan,” katanya.

Oleh Adi Safarman