SIBU: Acara Perniagaan Sarawak atau BESarawak yang merupakan inisiatif Biro Konvensyen Sarawak (SCB) berjaya menarik 99 acara perniagaan bernilai RM122.71 juta bagi Sarawak yang dijana oleh perbelanjaan langsung delegasi.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 95 peratus acara perniagaan akan berlangsung pada tahun ini.
Menurutnya, Pakej Insentif Perancang Perniagaan (Business Events Planners Incentivised Packages) telah terbukti menjadi penyelesaian utama dalam meminimumkan pembatalan acara perniagaan dengan hanya tiga acara perniagaan dibatalkan tahun ini.
“Manakala, sebanyak 88 acara perniagaan Sarawak dijamin untuk tahun 2020 hingga 2022,” jelasnya ketika menyempurnakan Business Events Tribal Meet – Sibu yang berlangsung di sebuah hotel di sini petang semalam.
Beliau menjelaskan perkembangan baharu segmen perjumpaan korporat dan insentif adalah untuk melipatgandakan impak ekonomi acara perniagaan dan konvensyen kini merangkumi 80 peratus daripada impak ekonomi.
“Dari tahun 2006 hingga kini, Sarawak telah menjadi tuan rumah kepada 955 acara perniagaan yang telah menyumbang kepada ekonomi sebanyak RM1.6 bilion, jumlah perbelanjaan langsung delegasi RM870 juta dan RM96 juta sumbangan hasil cukai ,” ujarnya.
Dari segi pendidikan acara perniagaan, Karim menyokong Tribe Digital Campus, iaitu pendidikan acara perniagaan digital pertama Sarawak dan platform pertukaran perniagaan yang menawarkan kelas percuma dan tajaan dengan mendaftar komuniti kampus.
“Tahniah diucapkan kepada kumpulan Sarawak Legatum mewakili Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) kerana berjaya memenangi MICE Marketing Destination Contest – MDMC edisi pertama Sarawak anjuran BESarawak dengan kerjasama Berjaya University College.
“MDMC yang dianjurkan tahun lepas menyaksikan persaingan sengit antara UCTS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Curtin University of Technology Miri.
“Pertandingan ini untuk mendedahkan pelajar universiti dari bidang multidisplin ke dunia acara perniagaan, mendorong batasan kreativiti dan inovasi untuk menghasilkan kes perniagaan yang berjaya untuk memasarkan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan,” ujarnya.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelanongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw, Naib Canselor UCTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Amelia Roziman.
Oleh Akun Giman