
MOSCOW: Sembilan terbunuh dan enam berjaya diselamatkan dalam kemalangan di lombong La Ciscuda di perbandaran Sutatausa, Jabatan Cundinamarca, Colombia, menurut Agensi Perlombongan Negara (ANM) pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Enam pelombong telah diselamatkan dan sembilan maut dalam insiden kecemasan perlombongan di Sutatausa, Cundinamarca,” menurut agensi itu, sambil menambah pelombong yang cedera sedang menerima rawatan perubatan di hospital wilayah.
Pihak berkuasa wilayah memaklumkan pada awal hari, 15 pekerja berada di bawah tanah ketika kejadian, tiga daripadanya berjaya sampai ke permukaan.

Menurut agensi itu, kejadian berpunca daripada letupan di dalam lombong, yang dikendalikan oleh Carboneras Los Pinos SAS.
ANM mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dan menyatakan pihaknya telah menyelaraskan operasi menyelamat sejak kemalangan berlaku.

Seperti yang dijelaskan oleh agensi itu, pemeriksaan teknikal telah dijalankan di tapak tersebut pada 9 April, berikutan syarikat tersebut menerima cadangan untuk mengukuhkan langkah keselamatan. Ini termasuk mengemas kini sistem lengai kerana kehadiran habuk arang batu, menutup kerja terbengkalai dengan melepaskan metana serta menilai risiko keruntuhan dan letupan.
Menurut ANM, metana dan habuk arang batu boleh terkumpul di lombong arang batu justeru memerlukan pemantauan berterusan dan pengudaraan yang berkesan untuk mengelakkan keadaan berbahaya.- Bernama-Sputnik/RIA Novosti