MIRI: Sebanyak 7,688 permohonan permit rentas daerah diterima di enam buah balai polis di Bahagian Miri sejak 25 April hingga 1 Mei lalu.
Menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 7,160 permohonan diluluskan, manakala 528 permohonan ditolak atas alasan tidak munasabah serta tidak mengikut peraturan.
“Sementara itu, bagi Sekatan Jalan Raya (SJR) pula, sebanyak 11,076 kenderaan diperiksa, 214 kenderaan diarahkan berpatah balik dan 10 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Bagi operasi pemantauan harian pula, sebanyak empat kompaun dikeluarkan, manakala 17 kompaun pula dikeluarkan kepada individu membabitkan kesalahan di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di sini,semalam.
Dalam pada itu, Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, setakat semalam, Majlis Bandaraya Miri (MBM) memeriksa sebanyak 648 premis yang meliputi 28 pasar raya, 531 premis makanan, 36 penjaja, 40 lain-lain (premis perniagaan) serta 13 pusat penjaja.
“Sebanyak 15 jumlah nasihat dikeluarkan dan MBM mengesahkan bahawa kebanyakan premis makanan dan minuman semasa pemantauan dibuat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Amaran secara lisan dan nasihat pula diberikan kepada premis yang mengambil ringan terhadap pematuhan SOP PKPB,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, MBM turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan bagi tempoh 26 April sehingga 2 Mei lalu adalah sebanyak sembilan kompaun.
Menurutnya,daripada jumlah itu tiga kompaun dibawah perundangan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999 (PPHO) dikeluarkan oleh seksyen penguatkuasa MBM, manakala dua kompuan dikeluarkan oleh Seksyen Kesihatan Awam MBM kepada pemilik premis di bawah kesalahan melanggar peraturan SOP iaitu beroperasi lebih daripada masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Satu lagi kompuan di bawah perundangan PPHO dikeluarkan kepada pemilik sebuah kedai gunting rambut atas kesalahan pelanggaran SOP COVID-19 iaitu tidak menyediakan buku rekod masuk pelanggan dan tiga lagi kompaun dikeluarkan ke atas tiga kedai makan atas kesalahan tiada penjarakan fizikal dan tidak menggunakan pelitup muka,”katanya.
Oleh LIONG CHAI LING