KUALA LUMPUR: Seramai 73 pelajar Dayak daripada Universiti Malaya (UM) telah menerima bantuan wang tunai daripada Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Pelajar-pelajar ini baharu sahaja melanjutkan pelajaran di UM bagi sesi 2024/2025. Presiden Persatuan Almuni Dayak Universiti Malaya (PADUM), Coolplay Nyipa mewakili Uggah bagi menyampaikan bantuan itu kepada pelajar terbabit.
Coolplay berkata berdasarkan data daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UM, terdapat kira-kira 322 pelajar yang kini mendaftar dalam program ijazah sarjana muda dan Matrikulasi UM.
“Daripada angka itu, kira-kira 83 peratus adalah pelajar Dayak daripada keluarga B40,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Uggah dan ahli persatuannya kerana sudi menyertainya untuk insentif pendidikan dan program bantuan dan lain-lain.
Sementara itu, menurut Profesor Madya Dr. Muhamad Shakirin Mispan, 67 peratus daripada pelajar ini adalah pelajar daripada kumpulan B40.
Beliau berkata kos sara hidup minimum bagi setiap pelajar adalah lebih kurang RM1,000 sebulan termasuk yuran.
Timbalan Naib Canselor Profesor Dr. Zamri Radzi dalam ucapannya memuji usaha yang dimulakan oleh PADUM dalam membantu golongan mahasiswa khususnya golongan B40.
Beliau turut menyentuh mengenai kemungkinan bekerjasama dengan persatuan itu untuk menganjurkan acara memperkenalkan budaya Sarawak khususnya masyarakat Dayak kepada umum dan berharap persatuan lain dapat tampil membantu pelajar kumpulan B40.
Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya Profesor Dr. Zamri Radzi dan Profesor Madya Dr. Muhamad Shakirin Mispan, Pengarah Pusat Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar, Profesor Madya Dr. Julia Patrick Engkasan, Dr. Pozi Milo, ahli PADUM dan lain-lain.