
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan apabila seramai 64 warga asing berjaya ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching, semalam.
Menurut kenyataan media JIM Sarawak hari ini, operasi tersebut dilaksanakan dengan kekuatan seramai 26 pegawai yang menyasarkan beberapa lokasi tumpuan di sekitar bandar raya ini.
Pada sebelah pagi, pemeriksaan dijalankan di sebuah tapak pembinaan rumah teres di kawasan Matang serta premis yang disyaki menjalankan aktiviti judi atas talian di pusat perniagaan Moyan Square.


Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian individu yang diperiksa gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain dipercayai menyalahgunakan pas yang diberikan untuk tujuan lain.
Operasi diteruskan pada sebelah malam dengan serbuan ke atas premis refleksologi di Tabuan serta beberapa restoran di sekitar bandar raya ini yang dikenal pasti menggajikan warga asing tanpa dokumen sah.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke depot imigresen untuk tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JIM Sarawak menegaskan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa sebagai langkah memberi kesedaran kepada majikan supaya mematuhi undang-undang serta tidak menggajikan warga asing tanpa kebenaran yang sah.
Oleh Adi Safarman