![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-18-at-4.29.11-PM-1000x490.jpeg)
SERIAN: Seramai 60,897 penerima di Bahagian Serian menerima manfaat daripada inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang dilancarkan hari ini oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Persidangan Serian itu memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, menyifatkan inisiatif ini sebagai satu langkah tepat bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan.
“Saya bagi pihak penerima SKAS Bahagian Serian ingin merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sumbangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat negeri di Pusat Persidangan Serian, hari ini.
Selain bantuan keperluan asas, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 bilion menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi merancang serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Serian dan kawasan sekitarnya, termasuk Tebedu, Siburan, Balai Ringin, Padawan, Bau, dan Lundu.
Menurut Sagah, projek-projek pembangunan di bawah agensi tersebut sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kami di Serian amat bertuah dengan perhatian berterusan daripada kerajaan negeri.
“Kepimpinan Premier Sarawak yang berpandangan jauh terus membawa arus pembangunan ke seluruh Sarawak, termasuk di Bahagian Serian,” tambahnya.
Oleh Amanda L.