SARATOK: Golongan belia di Saratok diseru memanfaatkan platform e-sukan sebagai ruang untuk mengetengahkan bakat, membina kemahiran serta meneroka peluang kerjaya dalam ekonomi digital.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Bell Bernard Aggan, berkata pembangunan belia perlu bergerak seiring perubahan zaman, termasuk dalam bidang e-sukan yang kini berkembang sebagai satu industri berpotensi besar.
Katanya, penganjuran Pertandingan PUBG Mobile Oohhaa Sarawak 2026 di Dewan Sri Krian, di sini, membuktikan usaha menyediakan platform yang relevan dengan minat dan aspirasi generasi muda, khususnya di kawasan luar bandar.
“Peluang yang dinikmati oleh belia di bandar juga harus dapat dirasai oleh anak-anak muda kita di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan PUBG Mobile Oohhaa Sarawak 2026 di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini semalam.
Bell yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) bagi membawa lebih banyak program berkaitan e-sukan ke Saratok pada masa akan datang.
Menurutnya, e-sukan bukan lagi sekadar permainan, sebaliknya mempunyai potensi besar dalam pembangunan bakat, teknologi, ekonomi digital dan pembukaan peluang kerjaya kepada golongan muda.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Presiden SESA, Afiq Fadhli Narwawi, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur kawasan Saratok, Jonathan Dayan serta seluruh jawatankuasa dan kru yang terlibat dalam menjayakan pertandingan julung kali diadakan di Saratok itu.
Bell berharap kerjasama antara PBB Cawangan Krian, SESA dan golongan belia setempat dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai bakat e-sukan dari Saratok yang mampu mengharumkan nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Seramai 160 peserta membentuk 32 pasukan menyertai Pertandingan PUBG Mobile Oohhaa Sarawak 2026 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM4,000.
Pasukan Zone SQ muncul johan dan membawa pulang RM1,500, manakala Team Spirit menduduki tempat kedua dengan hadiah RM750. MDESA pula di tempat ketiga dan menerima RM500.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Bell yang turut hadir bersama Setiausaha PBB Cawangan Krian, Leonard Jambu dan tetamu lain.
Oleh Adi Safarman




