SPAOH: Pembangunan infrastruktur utama seperti Jambatan Batang Lupar II, rangkaian jalan raya dan Jalan Raya Utama Kedua (STR) dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kemudahan perhubungan yang semakin baik akan memudahkan pergerakan penduduk, melancarkan pemasaran produk tempatan serta merancakkan sektor perniagaan dan pelancongan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, peningkatan akses jalan raya mampu menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat ekonomi dengan lebih berkesan, sekali gus memberi ruang kepada masyarakat tempatan mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Dengan ada Jambatan Batang Lupar II, rangkaian jalan raya dan Jalan Raya Utama Kedua, kita melihat banyak peluang akan terbuka kepada penduduk tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada 102 peserta Kursus Pembuatan Produk Ayam Sejuk Beku di Dewan Serbaguna Spaoh, dekat sini semalam.
Menurut Uggah, kemudahan perhubungan yang lebih baik juga akan memendekkan masa perjalanan antara kawasan, termasuk dari Sri Aman ke Spaoh, sekali gus memudahkan proses pemasaran dan pengedaran produk tempatan.

Katanya, produk makanan yang dihasilkan penduduk setempat berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung sekiranya dipasarkan secara lebih meluas dan digabungkan dengan pembangunan aktiviti pelancongan.
“Kalau ada produk yang dapat menarik minat masyarakat di tempat-tempat lain, ia akan menjadi satu tarikan kerana pelancongan adalah satu industri yang kita akan galakkan di kawasan Bukit Saban kerana kita mempunyai potensi yang besar,” katanya.
Beliau berkata penganjuran pesta, festival makanan dan pelbagai aktiviti masyarakat juga boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk menarik pengunjung dari luar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap makanan serta produk tempatan.
Dalam pada itu, Uggah berkata usaha memperkasa industri makanan perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk aspek penternakan, pemprosesan dan penghasilan produk bernilai tambah.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan belia dan wanita memanfaatkan peluang latihan keusahawanan supaya tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan, sebaliknya berani meneroka bidang perniagaan seperti restoran, gerai makanan dan industri kulinari.
Seramai 102 belia dan peserta wanita dari DUN Bukit Saban menyertai Kursus Pembuatan Produk Ayam Sejuk Beku anjuran Pusat Khidmat N.37 Bukit Saban dengan kerjasama Sekolah Kemahiran Yahos.

Uggah berharap kemahiran yang diperoleh peserta dapat diterjemahkan kepada peluang perniagaan baharu, terutama apabila pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan terus dipertingkatkan.
Beliau berkata Pusat Khidmat Bukit Saban turut merancang menganjurkan program latihan memasak di Kuching bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai jenis masakan dan kemahiran baharu.
“Usaha ini diyakini mampu memperluas pilihan produk makanan tempatan serta melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat mengambil kesempatan daripada peningkatan aktiviti ekonomi dan pelancongan susulan pembangunan infrastruktur di kawasan Bukit Saban.
“Dengan jaringan perhubungan yang semakin baik, penduduk tempatan bukan sahaja mempunyai akses lebih luas kepada pasaran, malah berpeluang menjadikan produk, budaya dan tarikan setempat sebagai aset ekonomi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan,” tambah Uggah.
Oleh Adi Safarman




