
SIBU: Pertandingan mewarna anjuran Komuniti MADANI Norkiah bersama KRT Sungai Empawah berlangsung meriah apabila sekitar 600 kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut di Unicity Jalan Wawasan, di sini hari ini.
Komuniti MADANI Norkiah dan Pengerusi KRT Sungai Empawah, Kaunselor Wong Hua berkata, pertandingan yang bertemakan ‘Kediaman Hijau, Kita Jaga Bersama’ bertujuan menggalakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak.
“Lukisan ini juga mencerminkan harapan dan janji mereka untuk melindungi planet kita. Kita semua perlu mengurangkan pencemaran, memulihara sumber, dan melindungi flora dan fauna kita,” katanya dalam ucapan pada program itu hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi amaran kepada orang ramai tentang penipuan dalam talian, termasuk love scam, penipuan pelaburan dan banyak lagi.
“Sila laporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan sebaik sahaja anda menyedari anda telah ditipu. Hanya dengan berbuat demikian anda akan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan kembali wang anda,” katanya.
Sementara itu, pengerusi penganjur Alan Lau memberitahu, program itu berfungsi sebagai platform khas untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan sektor swasta, membolehkan perkongsian maklumat yang lebih inklusif dan harmoni.
“Pertandingan mewarna kanak-kanak bukan sahaja membantu mencungkil kreativiti anak-anak kita tetapi juga mengajar mereka nilai-nilai murni seperti kerjasama,” katanya.
Joanne Ling Yi Tong diumumkan pemenang tempat pertama kategori tahap 1 (darjah 1 hingga 3) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250 dan sijil penghargaan.
Tempat kedua dimenangi Edlyn Yong Yann Ru dan mendapat hadiah wang tunai RM150, Aaron Mok Hua Cheng di tempat ketiga (wang tunai RM100) dan Trixie Ting Ding En di tempat keempat (wang tunai RM80).
Lima pemenang sagu hati masing-masing mendapat hadiah RM50 setiap seorang iaitu Eeson Wong Mohamad Hisham, Agnes Loh Qiao Eng, Chloe Ngu Ke Yi, Charis Kong En Xi dan Vivian Teng Jia En.
Manakala, johan kategori tahap 2 (darjah 4 hingga 6) dimenangi Charlene Ting Yan Jin dan mendapat hadiah wang tunai RM300 dan sijil penghargaan.
Felicia Wong Zi Yin tempat kedua (RM200), Edric Wong Tian Jun tempat ketiga (RM150) dan Doreen Ting Hie Jing (RM100).
Lima pemenang sagu hati masing-masing mendapat hadiah RM50 setiap seorang iaitu Asna Aqilah Muhamad, Tiara Arlissya Sumping, Leovincent Ansi Latit, Evageline Kueh dan Johnson Ting Zhong Seng.
Semua pemenang menerima sijil penghargaan.
Kesemua hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Oleh Akun Giman