KUCHING: Enam Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan mulai esok sehingga 30 November.
RUU itu ialah Pembekalan 2022, Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, Perlembagaan Sarawak (pindaan), Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat 2022, Perbadanan Kemajuan Industri Perkayuan Sarawak (pindaan) 2022 dan Kesihatan Awam Veterinar (pindaan) 2022.
Speaker DUN, Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata RUU Pembekalan (2023), 2022 akan dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
RUU Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, 2022 pula akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.
RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau berkata, Premier Sarawak juga akan membentangkan RUU Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat 2022 manakala RUU Perbadanan Kemajuan Industri Perkayuan Sarawak (pindaan) 2022 akan dibentangkan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Selain itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom akan membentangkan RUU Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan), 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Menurut Asfia, sesi soal jawab akan diadakan selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat depan manakala perbahasan ke atas RUU Perbekalan (2023), 2022 akan diadakan pada Rabu hingga 30 November.
Katanya, jumlah keseluruhan soalan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setakat tarikh tutup pada 7 November adalah sebanyak 286 soalan.
“Kedua-dua jawapan lisan dan bertulis telah diterima daripada 39 ADUN. Daripada 286 soalan yang dikemukakan, 223 untuk jawapan lisan dikemukakan oleh 38 ADUN dan 63 untuk jawapan bertulis dikemukakan oleh 47 ADUN.
“Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menerima paling banyak soalan iaitu sebanyak 48 soalan,” katanya.
Dalam pada itu, Asfia menyatakan bagi RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No. 2), pindaan itu membabitkan anti-lompat parti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan pada Jadual Kelapan Perlembagaan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA