ADI SAFARMAN
BINTULU: ADAP 4orty Group of Companies bertindak proaktif dengan menghulurkan sumbangan barangan dapur dan keperluan harian kepada 50 buah keluarga kurang berkemampuan di sekitar Bintulu yang terputus bekalan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Menurut Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata bukan hanya kepada keluarga yang kurang berkemampuan sahaja dibantu, malah petugas di barisan hadapan seperti anggota polis, dan anggota tentera turut disumbangkan barang makanan.
“Di saat negara berdepan dengan penularan Covid19 ini, banyak keluarga yang telah kehilangan mata pencarian, tidak kurang juga ada yang terputus bekalan makanan dan sebagainya.
“Justeru ADAP 4orty Travel & Tours dan ADAP Textiles mencari inisiatif bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, khasnya penduduk yang berada di Kampung sekitar Bintulu,” katanya.
Francis berkata, pihaknya telah mendapat kerjasama dengan ADAP 4orty Group of Companies bagi meringankan beban penduduk yang terputus bekalan makanan dengan mengagihkan keperluan terbabit ke rumah-rumah penduduk.
“Sehingga semalam, pihak kita telah membantu sebanyak 50 buah keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Oleh itu kita berharap dengan bantuan yang disalurkan oleh ADAP 4orty Travel & Tours dan ADAP Textiles ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mereka pada ketika ini,” ujar beliau.
Selain itu katanya pihak mereka turut membantu para petuga di barisan hadapan dalam mengekang Covid-19 dengan menghantar bekalan makanan dan minuman kepada pasukan keselamatan yang menjaga kawalan operasi di sekitar kawasan Bintulu.
“Ia sekali gus merupakan tanda penghargaan pihak ADAP 4orty Travel & Tours dan ADAP Textiles atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan,” katanya.
Pada perkembangan sama, Francis berkata, pihaknya turut mendapat maklum daripada Klinik Kesihatan dan Hospital Nyabau dikatakan sedang mengalami kekurangan ‘medical equipment’.
“Syukur di saat hospital sedang mengalami kekurangan ‘medical equipment’, pihak kita turut mendapat sumbangan daripada ADAP 4orty iaitu kelengkapan yang diperlukan oleh Klinik Kesihatan dan Hospital Nyabau seperti baju pelindung putih yang sangat berguna kepada mereka,” tambah Francis.