
MIRI: Kejayaan 49 pelajar SMK Pujut mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mendapat pengiktirafan sebagai pembakar semangat untuk mereka terus melakar kejayaan lebih tinggi pada masa depan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man memperuntukkan RM10,000 kepada sekolah berkenaan bagi menyokong pembangunan pendidikan, kecemerlangan pelajar serta aktiviti sukan dan kokurikulum.
Menurut kenyataan Pusat Khidmat Parlimen Miri P.219, penyerahan peruntukan itu diwakili Pegawai Khasnya, Christopher Jemat Amie dalam satu program di SMK Pujut baru-baru ini.
Chiew berkata, pengiktirafan terhadap pelajar cemerlang bukan sekadar menghargai pencapaian akademik, malah diharap menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus melangkah lebih jauh.
“Pengiktirafan kepada pelajar cemerlang bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka, tetapi juga sebagai dorongan untuk mereka terus melangkah lebih jauh serta menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain.
“Pada masa sama, aktiviti kokurikulum memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai kemahiran kepimpinan,” katanya.
Sokongan itu turut merangkumi usaha memperkukuh pembangunan sukan sekolah menerusi penganjuran Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Miri pada Julai ini dengan SMK Pujut sebagai tuan rumah.
Menurut Chiew, pelajar merupakan aset penting kepada masa depan negara dan pendidikan perlu berkembang secara menyeluruh, bukan sahaja dalam pencapaian akademik tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, kepimpinan serta bakat melalui sukan dan kokurikulum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan SMK Pujut, guru serta semua pihak yang memainkan peranan dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, usaha yang memberi manfaat kepada institusi pendidikan dan pelajar di Parlimen P.219 Miri akan terus diberi perhatian bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Oleh Liong Chai Ling




