OYA: Sebanyak 43 Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi Daerah Dalat telah diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa projek kecil luar bandar (MRP) PPRMS di sini, semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Mesyuarat yang berlangsung kelmarin itu turut dihadiri oleh ketua masyarakat dan ketua kaum dari Daerah Dalat.
PPRMS adalah bantuan daripada Kerajaan Sarawak untuk membaiki rumah itu terdiri daripada pelbagai kategori seperti atap, dinding, dinding, siling, lantai, dapur, tandas, tangga dan lain-lain.
Manakala pelaksanaan adalah dilakukan secara bergotong-royong daripada satu jawatankuasa kampung dengan kos pembaikan bagi setiap rumah adalah sekitar RM5,000 hingga RM15,000 berdasarkan keperluan baik pulih.
Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah turut mengadakan program ziarah di Kampung Balan, Dalat yang bertujuan untuk membincangkan tentang projek pembangunan bagi kampung tersebut selain mendengar isu dan permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.
Turut disampaikan adalah persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang, Sijil Perakuan Pendaftaran Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sijil perlantikan setiausaha JKKK dan daftar pemilih suku tahunan ke-4.
Program turut menyaksikan penyampaian cek MRP ADUN Dalat tahun 2020 kepada JKKK Kampung Balan bagi projek baik titian belian di Kampung Balan Seberang, Dalat bernilai RM5,000, projek bina pangkalan serta jeti di kawasan tanah perkuburan islam (RM30,000), projek menyimen pekarangan Masjid An-Nur Kampung Balan (RM19,000) dan kelengkapan dapur wanita JKKK Kampung Balan (RM2,000).
Sebelum ini, program yang sama telah dijalankan di lapan kampung sekitar Dalat antaranya Kampung Baru, Kampung Baru Cina, Taman Ceria Dalat, Kampung Brunei, Kampung Boom, Kampung Kuala Tengah, Kampung Kuala Hilir dan Kampung Medong Hilir, Dalat.
Oleh Zarina Abdullah