KUCHING: Seramai 41 orang bakal jemaah haji dari kawasan Lawas dan Limbang menerima sumbangan ikhlas daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai tanda sokongan dan doa restu sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Dato Pengiran Haji Jawa, yang mewakili Datuk Amar Awang Tengah, di Raia Hotel, Kuching, hari ini.
Sumbangan ini disampaikan bagi membantu jemaah dari kawasan Lawas dan Limbang yang bakal menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Dalam ucapannya, Awangku Jinal menyampaikan salam dan doa daripada Datuk Amar Awang Tengah yang berharap agar semua jemaah dari Lawas dan Limbang dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, serta memperoleh haji yang mabrur.
“Datuk Amar Awang Tengah amat menekankan pentingnya kebersamaan dan sokongan moral kepada bakal jemaah, kerana ibadah ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat Islam, khususnya,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan bacaan doa selamat dan nasihat ringkas daripada pegawai agama mengenai persiapan akhir sebelum berangkat ke Mekah.