SARIKEI: Sebanyak 26 aktiviti sukan telah diadakan untuk sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Sarawak 2024 dengan penyertaan keseluruhan seramai 40,298 peserta.
Residen Sarikei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HSN Peringkat Negeri Sarawak 2024, Datu Michael Ronnie Langgong berkata, fokus sasaran aktiviti sukan kepada warga emas (60 tahun ke atas), warga veteran (40-60 tahun), rakan muda (13-30 tahun) dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam penganjuran kali ini dengan jumlah penyertaan keseluruhan seramai 40,298 peserta melibatkan 26 jenis aktiviti sukan.
“Pada tahun ini, sambutan HSN Peringkat Negeri Sarawak 2024 telah diadakan dengan cukup meriah.
“Tahniah kepada seluruh warga Sarikei di atas sambutan yang amat menggalakkan dalam aktiviti sukan pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan HSN Peringkat Negeri Sarawak 2024, bertempat di Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.
Jelasnya, bagi peringkat pelaksanaannya untuk negeri Sarawak, sasaran keseluruhan adalah 8,580 peserta dan sembilan aktiviti sukan; Bahagian Sarikei (2,510 peserta, tujuh aktiviti sukan; agensi, swasta, GLC (27,568 peserta), lima aktiviti sukan dan NGO (1,640 peserta), lima aktiviti sukan.
“Sambutan HSN merupakan acara tahunan yang disambut setiap tahun bermula 2015.
“Sambutan ini diadakan di seluruh negara pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober.
“Bagaimanapun, bagi Sarawak, memandangkan tarikh 14 Oktober 2024 merupakan sambutan Hari Lahir Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, maka tarikh sambutan HSN telah ditunda kepada hari ini dan dilaksanakan serentak di semua bahagian,” katanya.
Tambahnya, sambutan HSN ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan sehingga ia menjadi satu budaya hidup.
“Bidang sukan masih mampu menjadi landasan terbaik dalam memupuk dan memperkasa perpaduan antara kaum di sebalik menjadi medan membentuk atlet di negara ini.
“Sukan dilihat sejak dulu sehingga hari ini tidak didominasi oleh sesuatu kaum sahaja. Semua kaum ada dalam sesebuah pasukan sebagai pemain, jurulatih mahupun pengurus. Mereka bersatu hati untuk mengerakkan sukan negara tanpa mengira kaum dan agama.
“Sukan bukan sahaja dapat meningkatkan perpaduan, malah kegiatan berterusan dalam sukan juga akan dapat meningkatkan produktiviti, tahap kesihatan dan kecergasan serta kualiti kehidupan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Katanya, penyatuan semua kaum juga dapat dilihat ketika rakyat memberi sokongan kepada pasukan negara dalam sesuatu pertandingan terutama di peringkat Olimpik, Komanwel mahupun Sukan Sea.
“Mereka datang daripada pelbagai kaum untuk memberi sokongan. la secara tidak langsung akan meningkatkan perpaduan di antara kaum di negara ini,” tambahnya.
Oleh Earl Anek