KUCHING: Program Pembangunan Agropreneur Lada merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk membangunkan dan meningkatkan penglibatan usahawan dalam penghasilan produk hiliran lada di negeri ini.
Menurut Ketua Pengarah Lada Malaysia, Stanley Jk Liew berkata, program tersebut adalah untuk mewujudkan usahawan lada hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada melalui bantuan yang komprehensif dan bersepadu.
Katanya, seramai 37 bakal usahawan dalam kalangan pekebun, peraih, usahawan huluan dan hiliran yang berpotensi dari Serian, Padawan dan Simunjan turut terlibat sama dalam program tersebut.
“Program ini mendapat sambutan yang menggalakan daripada para pekebun kecil lada dan usahawan yang berminat untuk menyertai program ini kerana pengisian program adalah menyeluruh.
“Usahawan yang terlibat turut diberi pendedahan berkaitan asas peningkatan kualiti produk, penjenamaan dan pelabelan, persediaan premis pemprosesan, persijilan MESTI dan HALAL serta latihan berkaitan pengiraan kos produk,”katanya.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan perkongsian ilmu tersebut, MPB telah bekerjasama dengan beberapa jabatan dan agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SIRIM Berhad.
Jelasnya, MPB turut menggunakan tenaga pakar dalam kalangan pegawai MPB untuk menjayakan taklimat seperti ini.
“Justeru itu, inisiatif seperti ini adalah tepat pada masanya dan saya percaya bahawa peserta program ini mempunyai potensi dalam merealisasikan usaha MPB dalam mewujudkan lebih ramai usahawan lada baru dan aktif dalam industri ini.” Katanya.
Turut hadir pada Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kanagadevi Pachaiappan; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Philip Gaweng dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran & Perniagaan Lembaga lada Malaysia, Langgi Chaling.