BAU: Sebanyak 37 keping saman POL 257 dikeluarkan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, malam tadi.
Operasi yang berlangsung dari 5.00 petang hingga tengah malam itu turut menyaksikan 147 kenderaan dan 186 individu diperiksa melibatkan kekuatan 17 pegawai dan anggota.
Menurut kenyataan IPD Bau, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di sekitar daerah Bau sentiasa terpelihara.
Rondaan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa lokasi termasuk Pekan Tondong, Redems Singgai, kawasan Singgai, SJR Simpang Kampung Suba Buan, Siniawan dan Serikin.
“Sebanyak 37 keping saman POL 257 telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan direkodkan sepanjang operasi berkenaan, manakala penugasan berjalan lancar dan mengikut perancangan.
Operasi turut memberi fokus kepada pencegahan kecurian kenderaan, kecurian kabel telekomunikasi (Telco) serta pemantauan di kawasan Siniawan dan Serikin.
IPD Bau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.





