KOTA SAMARAHAN: Seramai 3,256 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan bersara telah berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh Malaysia.
Sementara itu, 281 anggota dan veteran ATM berjaya dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi Program Recognition of Prior Experiential Learning (R-PEL) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi berkata, peranan PERHEBAT amat signifikan dalam mencorak kerjaya kedua veteran tentera.
“Dalam usaha memberi nilai tambah dan peluang kepada anggota dan veteran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan, maka PERHEBAT dengan kerjasama JPK melaksanakan R-PEL yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
“PERHEBAT telah diamanahkan untuk membimbing Bakal Pesara agar mereka bersiapsiaga untuk melaksanakan apa jua perancangan kerjaya kedua.
“Selari dengan transformasi semasa PERHEBAT, anggota-anggota ATM yang akan bersara kini boleh mengikuti latihan di negeri mereka berkhidmat tanpa perlu ke Kompleks PERHEBAT di Sungai Buloh.
“Sejak 2021, PERHEBAT telah mewujudkan 17 Pusat Latihan dan Bimbingan Veteran atau PLBV di seluruh negara bagi menepati kehendak dan kecenderungan anggota yang memilih untuk mengikuti latihan berstruktur kendalian PERHEBAT.
“Sehingga kini, anggota boleh mengikuti program latihan yang bertempat di PLBV di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyampaian Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Mohd Sofi berkata, sehingga 8 Mei lalu, sebanyak 93.1 peratus bersamaan 5,478 anggota memilih PERHEBAT berbanding lima kategori Latihan Peralihan.
Malah transformasi dan penambahbaikan kurikulum latihan turut menjadi faktor penarik kepada Pegawai-Pegawai Kanan ATM berpangkat Leftenan Jeneral, Mejar Jeneral, Brigedier Jeneral, Leftenan Kolonel dan Mejar telah memilih untuk mengikuti Latihan Peralihan di PERHEBAT sebagai persediaan persaraan mereka.
“Setiap tahun sekitar 5,000 hingga 6,300 anggota akan menamatkan perkhidmatan dan 75 peratus daripadanya berumur 33 hingga 42 tahun.
“Saya optimis, veteran di dalam julat umur tersebut yang dilengkapi dengan kemahiran, kepakaran, jati diri dan disiplin yang tinggi akan mampu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat-syarikat di negeri ini.
“PERHEBAT sedang memantau perkembangan kerjaya 6,851 orang veteran yang tamat Latihan Peralihan 2023. Berdasarkan pengesanan kerjaya kedua mendapati 60 peratus veteran telah mempunyai kerjaya kedua,” ujarnya.
Oleh Nickelyson Lakun